Pelajar UMP Guna Aplikasi Adab@UMP Tunai Kupon Food@Campus
Pelajar UMP Guna Aplikasi Adab@UMP Tunai Kupon Food@Campus
Seiring dengan hasrat universiti ke arah kampus digital, pelajar Universiti Malaysia Pahang ( UMP) bakal mengadaptasi kemudahan UMP Kasih iaitu Kupon Makan untuk pelajar yang kesempitan duit menggunakan aplikasi Adab@UMP yang membolehkan mereka mendapatkan makanan secara percuma bagi yang layak di kafeteria kampus.
Terdapat sembilan inisiatif atau kupon disediakan di bawah Food@Campus Keluarga Malaysia Keluarga UMP.
Selain UMP Kasih adalah UMP Pek Kasih Sayang, UMP Campus Pantry, UMP Keratina, UMP : YAPEM, UMP Iftar, UMP Traveller, UMP Food For All dan UMP Bakul Prihatin Yayasan.
Dijangkakan lebih 4,000 pelajar UMP akan menerima manfaat melalui program sumbangan Food@Campus Keluarga Malaysia hasil inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mulai tahun hadapan.
Menurut Prof Dato’ Ts Dr Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP berkata, kemudahan ini mensasarkan pelajar dari golongan B40 dan kurang berkemampuan.
Pelajar yang mempunyai masalah kewangan sehingga kesempitan atau ketiadaan wang untuk makan dengan alasan yang munasabah juga layak menerima kemudahan ini.