Bengkel Pengurusan Program
26 Februari 2017, UMP Gambang - Bengkel Pengurusan Program merupakan sebuah bengkel yang memberikan pendedahan kepada peserta akan pengurusan dan perjalanan sesebuah program dalam memastikan program dapat berjalan dengan lancar.
Bengkel ini telah diadakan selama satu hari iaitu pada 26 Februari 2017 yang bertempat di blok W, WDK-US-01 dengan kerjasama dan bimbingan Bahagian Kaunseling & Psikologi (BKP). Bengkel yang bermula pada pukul 8 pagi ini telah dijalankan dengan jayanya dengan penglibatan peserta seramai 93 orang yang hadir pada bengkel tersebut dan 30 orang fasi telah terlibat dalam mengendalikan bengkel. Bengkel ini melibatkan kedua-dua kampus iaitu kampus Gambang dan Pekan.
Sepanjang bengkel ini dijalankan, pelajar didedahkan dengan tatacara, skop serta prosedur dalam mengendalikan sesebuah program. Terdapat empat slot yang ditekankan di dalam bengkel pengurusan program ini iaitu kesetiausahaan, bendahari, pengurusan majlis dan multimedia. Keempat-empat slot tersebut merupakan perkara asas yang paling penting apabila mengendalikan sesuatu program. Oleh yang demikian, kelab Pembimbing Rakan Siswa (Persis) telah mengambil inisiatif dengan mengadakan bengkel ini untuk mendedahkan kepada peserta akan tatacara sesebuah program di samping untuk memudahkan peserta apabila mengendalikan sesuatu program kelak.
Bengkel ini juga bertujuan untuk melatih peserta agar menjadi seorang fasilitator yang terlatih dalam program-program yang akan datang menerusi modul-modul dan latihan dalam kumpulan (LDK) yang telah diapliksikan kepada peserta. Peserta lebih memahami dan praktikal akan gerak kerja pengendalian sesebuah program melalui LDK yang dijalankan. Peserta diberikan tugasan untuk membuat kertas kerja, surat-menyurat, laporan serta tuntutan kewangan program.
Bagi slot pengurusan majlis, peserta didedahkan dengan protokol pengurusan majlis, tatacara perasmian pembukaan atau penutupan majlis dan peranan ahli jawatankuasa seperti ajk logistik, ajk makanan dan sebagainya. Bagi slot multimedia pula, peserta didedahkan dengan cara-cara membuat montaj, mengambil gambar dan peranan ajk multimedia bagi sebelum, semasa dan selepas program.